Bagaimana gastrik terjadi?
Ekoran daripada cara hidup moden yang penuh dengan makanan segera yang
kurang berkhasiat dan macam-macam tekanan hidup, pelbagai-bagai penyakit
moden telahpun semakin mengancam kesihatan kita. Masalah Gastrik sudah
menjadi satu masalah kesihatan yang semakin popular di antara
warganegara kota.
Perut kita mengandungi kantung kosong yang berotot
terletak di bahagian atas di kiri abdomen, betul-betul di bawah rusuk. Panjang
perut orang dewasa lebih kurang 25 sentimeter (10 inci) dan boleh mengembang
untuk menampung satu gelen makanan dan minuman.
Ketika perut kosong, tisu perut tersusun rapat dan
berlipat sesama sendiri seperti kipas. Apabila ada makanan, lipatan ini terbuka
dan mengembang. Dalam perut inilah makanan diproses dan disimpan sebelum ia
dibuang melalui usus.
Daripada mulut, makanan perlu melalui esofagus (saliran
makanan yang panjang dan berotot) sebelum sampai ke perut. Dinding perut pula
ada beberapa lapisan otot yang ‘menggodak’ makanan sehingga hancur.
Pada masa sama, kelenjar pada dinding perut merembeskan
jus gastrik (termasuk enzim dan asid perut) bagi membantu mencernakan makanan.
Satu asid, iaitu asid hidroklorik, bersifat kakis dan boleh melarutkan besi.
Bagaimanapun, kehadiran mukus atau cecair bikarbonat
dapat menseimbangkan paras keasidan dalam perut dan melindungi tisu perut.
Perunding Pembedahan Gastroenterologi, Dr Abd Hamid Mat Sain, berkata radang
perut atau gastritis berlaku apabila keseimbangan ini terganggu.